Ayuh! Buktikan Jika Kau Benar!

Salam.

Ok, hari ini gempa alam masih lagi berlarutan. Mungkin seisi alam sudah tidak tahan melayan kerenah khalifah yang hanya suka melayan kekayaan dan kekuasaan. Dalam mencari intisari kekuatan pun, semuanya dipergunakan bagi tujuan matlamat yang hendak dicapaikan. Ya, secara tidak sedar kita sepatutnya mengetahui dengan lebih dekat terutamanya umat islam akan lembaran mukjizat yang dialunkan dan disampaikan melalui surah Ar-Rum ayat 41:

” Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Itu hakikat yang telah Maha Mengetahuinya ALLAH itu akan kejadian yang akan datang. Optimisnya manusia menyangka bumi ini kian purba sedangkan manusia itu sering berdusta terhadap akalnya untuk kembali merenung sejenak siapa sebenarnya yang ditugaskan mentadbir alam yang sementara ini.

Baiklah, IR membaca saban hari suratkhabar dan sejak akhir-akhir ini selain peristiwa bencana yang mengundang hiba dunia, satu lagi kes yang IR rasakan benar, ia perlu disegerakan dan jangan dilengahkan. Kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam membicarakan soal kes liwatnya. Di awal-awal perjalanan, IR melihat ada sahaja alasan atau ketidakpuasan hati yang diadakan oleh pihak pembelaan bagi DSAI yang pada IR bukanlah melibatkan pembuktian tetapi sengaja dilengahkan bagi melambat-lambatkan proses perbicaraan. Buat sekian kalinya, baru-baru ini juga berasak-asak kumpulan-kumpulan tertentu yang menuntut agar DSAI menyerahkan sahaja DNA beliau bagi tujuan penyelesaian. Alkisah kamarnya yang menyebut, terdapat DNA lelaki. Jadi, berkonyong-konyonglah manusia memaksa agar DSAI melakukan ujian DNA bagi memastikan adakah terdapat padanan DNA terhadap sampel DNA yang diperolehi dari dubur Saiful Bukhari. Berbunyi-bunyi jugalah suara unggas yang mengatakan mengenai DSAI yang tidak mahu bersumpah bagi menolak dakwaan liwat yang dibuat terhadapnya lantas apa yang perlu ditakutkan sekiranya beliau ini benar tidak melakukan perkara yang demikian.

Bagi pihak IR sendiri, tidaklah bermaksud menjadi si kaduk yang menerima cerita lalu diiakan begitu sahaja. Namun, kita sendiri menyaksikannya, berapa lama lagi masa yang perlu dilengahkan oleh pihak DSAI dalam kes perbicaraan ini. Seharusnya, orang yang benar tidak perlu takut. Kalau benar beliau tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk itu, usahkan DNA, apa sahaja boleh diberikan bagi memberikan kerjasama. Lagi mudah kalau semuanya dapat memberikan kerjasama, akhirnya keputusan mahkamah lebih cepat diketahui. Seandainya begini, IR merasakan, DSAI akan kehilangan sokongan masyarakat kerana beliau banyak memberikan reaksi yang membuatkan masyarakat keliru. Siapakah DSAI ini sebenarnya?

Bagi IR, kalau benar..benarlah, kalau salah, orang yang mendakwa DSAI harus dikutuk sehabis-habisan dan dibuang jauh daripada masyarakat kerana perkara tuduhan-tuduhan seumpama ini melibatkan maruah. Justeru, Ayuh! Buktikan jika kau benar!


This entry was posted in Politik Tempatan. Bookmark the permalink.

Leave a comment