Ayuh! Buktikan Jika Kau Benar!

Salam.

Ok, hari ini gempa alam masih lagi berlarutan. Mungkin seisi alam sudah tidak tahan melayan kerenah khalifah yang hanya suka melayan kekayaan dan kekuasaan. Dalam mencari intisari kekuatan pun, semuanya dipergunakan bagi tujuan matlamat yang hendak dicapaikan. Ya, secara tidak sedar kita sepatutnya mengetahui dengan lebih dekat terutamanya umat islam akan lembaran mukjizat yang dialunkan dan disampaikan melalui surah Ar-Rum ayat 41:

” Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Itu hakikat yang telah Maha Mengetahuinya ALLAH itu akan kejadian yang akan datang. Optimisnya manusia menyangka bumi ini kian purba sedangkan manusia itu sering berdusta terhadap akalnya untuk kembali merenung sejenak siapa sebenarnya yang ditugaskan mentadbir alam yang sementara ini.

Baiklah, IR membaca saban hari suratkhabar dan sejak akhir-akhir ini selain peristiwa bencana yang mengundang hiba dunia, satu lagi kes yang IR rasakan benar, ia perlu disegerakan dan jangan dilengahkan. Kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam membicarakan soal kes liwatnya. Di awal-awal perjalanan, IR melihat ada sahaja alasan atau ketidakpuasan hati yang diadakan oleh pihak pembelaan bagi DSAI yang pada IR bukanlah melibatkan pembuktian tetapi sengaja dilengahkan bagi melambat-lambatkan proses perbicaraan. Buat sekian kalinya, baru-baru ini juga berasak-asak kumpulan-kumpulan tertentu yang menuntut agar DSAI menyerahkan sahaja DNA beliau bagi tujuan penyelesaian. Alkisah kamarnya yang menyebut, terdapat DNA lelaki. Jadi, berkonyong-konyonglah manusia memaksa agar DSAI melakukan ujian DNA bagi memastikan adakah terdapat padanan DNA terhadap sampel DNA yang diperolehi dari dubur Saiful Bukhari. Berbunyi-bunyi jugalah suara unggas yang mengatakan mengenai DSAI yang tidak mahu bersumpah bagi menolak dakwaan liwat yang dibuat terhadapnya lantas apa yang perlu ditakutkan sekiranya beliau ini benar tidak melakukan perkara yang demikian.

Bagi pihak IR sendiri, tidaklah bermaksud menjadi si kaduk yang menerima cerita lalu diiakan begitu sahaja. Namun, kita sendiri menyaksikannya, berapa lama lagi masa yang perlu dilengahkan oleh pihak DSAI dalam kes perbicaraan ini. Seharusnya, orang yang benar tidak perlu takut. Kalau benar beliau tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk itu, usahkan DNA, apa sahaja boleh diberikan bagi memberikan kerjasama. Lagi mudah kalau semuanya dapat memberikan kerjasama, akhirnya keputusan mahkamah lebih cepat diketahui. Seandainya begini, IR merasakan, DSAI akan kehilangan sokongan masyarakat kerana beliau banyak memberikan reaksi yang membuatkan masyarakat keliru. Siapakah DSAI ini sebenarnya?

Bagi IR, kalau benar..benarlah, kalau salah, orang yang mendakwa DSAI harus dikutuk sehabis-habisan dan dibuang jauh daripada masyarakat kerana perkara tuduhan-tuduhan seumpama ini melibatkan maruah. Justeru, Ayuh! Buktikan jika kau benar!


Advertisements
Posted in Politik Tempatan | Leave a comment

Ah!..Biarkan Mereka.. (I-ORI)

Mindanya tak tentu arah. Matanya bulat tiada hala. Apa yang sedang difikirkannya? Rohaninya menyapa apakah sudah tiba masanya kita semua bermuhasabah? Atau kendiri berfikir meneliti kejadian dalam setiap ciptaan? Setiap satu diamatinya dengan teliti. Kejadian ‘Bigbang’ adalah kejadian asli yang telah disampaikan sejak zaman junjungan mewarnai alam keduniaan. Semuanya berpaksikan kepada firman yang tiada penipuan. Semuanya adalah kebenaran yang sehingga sekarang, manusia masih lagi menganggap ia adalah hasil penyelidikan! Butakah kita selama ini tanpa sedikit pun cuba mengakui hakikat ini. Apabila dipaksa minda berfikir, tidak siapa pun cuba untuk mengungkap melalui kata-kata yang tiada padanya suatu pendustaan. Saban hari, waktu dan masa berubah, musim buah juga tidak seperti dahulu kala, musim bencana datang bertimpa-timpa. Mujurnya, tidak kena pada mereka yang masih lagi senyum suka atau mungkin terkejut berkerut muka melihat berlakunya ditempat yang nun jauh dari mereka.

Pesan mereka seperti biasa berdoa minta dijauhkan dari segala yang tidak upaya dan lemah untuknya. Tetapi, kebenaran yang sering dialunkan sama ada bagi yang mahir mengikut baitnya atau dalam iramanya apa mungkin tidak sedar, kendati pun kita berdoa akan tiba jua waktu penghujungnya. Ini janjinya bagi mereka yang memahaminya. Benar! Doa sememangnya senjata bagi umat manusia tidak kira walau apa jua agamanya. Mereka percaya ada yang mengaturnya namun bongkak dalam bersaksikannya. Tidak mengapa, usianya masih panjang. Ya, usia kita memang panjang, tapi ajal kita tidak memandang panjang pendek umurnya. Bila adanya suatu perintah untuk melaksanakan, pastinya terpisahlah antara dunia dan kenikmatan. Haluan pemergian kita dari dunia tetap sama tetapi mungkin caranya berbeda. Bergantunglah sebanyak mana yang telah dikorbankan untuk DIA. Dalam tangannya mencari aksara untuk dipamer bersama, terfikir juga kita terleka dengan kehidupan yang panjang namun waktunya singkat!

Alam waktu mungkin tiada disitu. Dimana kita dikala waktu berlalu. Sejenak dia terasa beratnya pemikiran bertalu-talu hendak mengingat kisah lalu. Mereka mungkin tidak merasa betapa singkatnya waktu yang ada. Cuba diberi satu penyaksian yang realiti yang semasa. Tsunami! Gempa Bumi! Hailintar memanah bumi! Taufan berpusing sana-sini! Bukan bukti lagi untuk suatu waktu yang dikatakan singkat dalam kehidupan yang panjang kononnya? Berapa lama masa kita yang diambil membina sebuah rumah yang selesa untuk kediaman bersama. Ikutlah pada saiznya. Besar rumahnya, banyak biliknya, luas ruang tamunya, lamalah masa diambil untuk menyiapkannya.Bangga dirasa bila tersiapnya suatu singgasana. Penat lelah, duit, tenaga juga masa! Akhirnya terciptalah suatu bangunan yang dipanggil rumah, kediaman dan lain-lain mengikut bahasa panggilan dan budaya. Sayangnya, siap sehari, habis dijilat api. Bila?.. keesokan hari. Sayangnya, baru 10 tahun merasai nikmat keselesaan, akhirnya diragut oleh kebecanaan dalam masa..SESAAT! Rumah hanyut dihempas tsunami! Rumah rosak dibinasa gempa bumi! Rumah berderai dibawa taufan yang tidak diingini! Apa lagi, ia bukan suatu bukti kehidupan yang dirasakan panjang, tetapi masanya cukup, cukup singkat. Terpulanglah pada mereka hendak menerima atau tidak suatu kenyataan yang sebenarnya sinonim dengan pembuktian tiada langsung padanya suatu pendustaan. Mereka yang berdusta. Mereka yang tidak pernah cuba mengakuinya. Sekali lagi, TIDAK MAHU MENGAKUINYA. Alangkah buruknya penyakit buta hati mereka. Sayang, indah melihat lirikan mata yang pelbagai warna dan ciri bentuknya. Rupanya, mata palsu kerana mereka malu mnjadi buta didalam dada lalu dihias dengan mata yang sementara.

Sudah cukup mungkin dia berfikir. Setelah dibaca suatu bukti sumpahan, mindanya kembali terhala pada satu nafas yang sama. Matanya yang membulat, kembali menutup merasai setiap denyut nadi diri dengan tenang dan senang. Setiap yang difikirkannya tadi kembali kepada satu yang tiada dua padanya sehinggalah ke suatu detik dipertemukannya nanti. Bukti ini dipegang kuat sebagai satu pegangan betapa DIA cukup-cukup mengingatkan sekaliannya akan suatu perkara.

 

1. Demi Masa!

2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian –

3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.

(Surah Al-Asr:1-3)

 

Bagaimana bagi mereka yang masih lagi tidak memahaminya walau sudah disampaikan padanya sebahagian daripada firmanNYA, Ah!..Biarkan Mereka.. tangannya berhenti bagai memahami seolah-olah inilah realiti manusia hari ini.

 

 

Posted in I-ORI | Leave a comment

Bukti! Kemahuan Melepasi Keperluan

Salam

Wow, tidak tersangka siang sudah meninggalkan kita sebentar tadi. Sekarang, malam pula yang menjelma, dikala tangan IR meleret di setiap permukaan papan kekunci laptop ini, pagi sudah menjelang tiba. Waktu 1.33 AM disudut kanan laptop setia menunjukkan waktunya. Rugilah pada IR sendiri yang tidak menggunakan setiap detik waktu yang berlalu untuk berfikir akan kekuasaanNYA seperti mana yang telah dipesan oleh ALLAH melalui kalamnya surah Ali-Imran ayat 190:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal”

Sungguh! Pada setiap kejadian yang diciptakan oleh ALLAH yang Maha Besar adalah suatu anugerah yang perlu dihayati dan diteliti. Akal yang diciptakan dengan keupayaan diluar batasan manusia adalah bertujuan hanya untukNYA. Tiada yang selayaknya menjadi sembahan kita, hanya kepadaNYA kita perlu kembali semula. Hmm, sedikit refleksi kendiri IR dan mungkin juga untuk kalian bersama. Baiklah, kita berbalik semula pada tajuk entry kita. Kalian tentu tertanya-tanya, apakah bukti yang ingin ditunjukkan oleh IR? Mari kita berbalik semula kepada tajuk entry yang IR tulis sebelum ini iaitu Kemahuan ATAU Keperluan. Sememangnya, IR sendiri akan menunjukkan bukti keadaan kemahuan sentiasa menjadi keutamaan walaupun keperluan sudah dipenuhi. Hehe. Muhasabah diri.

Malam pada 5hb Mac 2011, Sabtu, IR dan juga abang Rashid telah keluar makan di Kopitim Pok Wan berhampiran di Gong Badak, Kuala Terengganu. Berhampiran dengan Kampus Gong Badak, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) rumah yang memberikan segala pengalaman pendidikan kepada IR. Makanan dan minuman yang ditempah oleh IR adalah Nasi Goreng Klasik bersama dengan air Ribena Longan Ais. Ye, sedap bangat sih! Kemudian, pukul 9.00 PM datanglah abang Aizat, tutor UniSZA dating bersama kami. Haha. Kemudian, abang Rashid telah meninggalkan kami berdua disebabkan urusan di Bandar. Terima kasih abang Rashid, nanti belanja lagi. Hoho. Apakah akibat yang melanda apabila datangnya abang Aizat? Sudah tentunya makan lagi! Kali ini IR memesan Chicken Chop bersama air Honey Dew Ais dan juga air Lemon Ais. Inilah yang dikatakan kemahuan. Tidak percaya, disini ada gambar IR berikan sekali sebagai bukti, IR sendiri memilih kemahuan walaupun keperluan sudah dipenuhi. (Gaya bahasa saksi di mahkamah)

Ha, lihatlah Chicken Chop Kemahuan IR. Nasi Goreng Klasik Keperluan IR sudah di dalam perut IR. Tambah lagi dengan makanan seperti gambar disebelah ini. Fuh!… kekenyangan IR. Terima kasih daun keladi, lepas ini belanja lagi ye abang Aizat. Hehe. Jadinya IR mendoakan semoga abang Rashid dan abang Aizat sentiasa dilimpah-ruahkan dengan rezeki dan nikmat yang tidak terkira banyaknya. InsyaALLAH. Amin. IR sendiri juga memilih kemahuan untuk dipenuhi. Benarlah pada pendapat IR, apabila kemahuan kita suah ditetapkan maka, akal akan didorong dalam jalan yang sama. Tetapi mungkin juga akan jadi keperluan pada IR sebab abang Aizat memang hendak belanja. Rezeki jangan ditolak. Sememangnya fitrah manusia tidak pernah puas dengan apa yang telah diperolehi dan dimiliki. Alangkah baiknya, kita sentiasa menjadi hambanya yang sentiasa bersyukur dengan setiap pengurniaanNYA. Semoga kita di dalam lingkungan yang IR maksudkan. Bak kata Prof. Izzi, “Renung-renungkan dan selamat beramal!”


~ Sesungguhnya nikmat kebebasan adalah suatu anugerah yang tiada terhingga sehingga kita adakalanya terlupa anugerah ini adalah suatu penghayatan kepada kecerdikan akal untuk menghargainya ~

Posted in Peribadi | Leave a comment

Antara Kemahuan ATAU Keperluan

Salam

Ye, antara kemahuan atau keperluan pasti menjadi taruhan dalam sesuatu pemilihan. Benar, setiap dalam kehidupan ini kita pasti akan bertembung dengan pilihan untuk memilih yang mana satu yang menjadi idaman kalbu. Soalnya, adakah ia berupa Kemahuan ATAU Keperluan? IR sendiri juga pernah berdepan dengan keadaan sebegini. Pastinya, berkerut dahi memikir hal sebegini. Nampak ringkas, tetapi rimas . IR akan cuba membawa daripada sudut pandangan IR sendiri dalam memahami kemahuan dan keperluan.

Kemahuan

Kemahuan ini berasaskan kamus Dewan Bahasa & Pustaka yang IR rujuk merupakan dari kata mahu (kata kerja). Bersinonim dengan hendak, ingin, berkeinginan, berkepingin, berhajat, berhasrat, berkenan, bersedia, sanggup, rela, sudi, reda; suka, gemar, berminat, berharap, bercita-cita, berazam, mengidam, dahaga akan, damba akan, berahi akan, sir, embuh, kasik, lepau;, Kata Terbitan : mahu tak mahu, mahupun, semahunya, semahu-mahunya, kemahuan

(Sumber: Dewan Bahasa & Pustaka)

Melihat kepada maknanya IR merasakan ia lebih kepada bersifat keinginan kepada sesuatu yang teramat sangat. Bila sudah teringin kepada sesuatu, maka pertimbangan akal akan menjadi nombor dua dalam menentukan keputusan. Walaupun, kemahuan itu akan membawa kepada pembaziran, tetapi kerana kita mahukannya, inginkannya, maka ia tidak akan dijadikan kewajaran dalam pertimbangan. Mungkin ideologi dalam membuat keputusan aalah berbeza. Namun asasnya tetap sama. Kita terlalu inginkannya. Sebagai kesimpulan paling mudah, IR mengambil contoh telefon bimbit. Kita sedia maklum, telefon bimbit kini menjadi satu kegunaan yang cukup-cukup penting dalam kehidupan seharian. Tidak kiralah jenama Nokia, Samsung, Sony Ericsson dan lain-lain lagi. IR sudah memiliki telefon bimbit yang sangat canggih pada perkiraan IR sendiri, Nokia E72. Tetapi IR rasa seperti mahukan satu lagi telefon bimbit yang canggih lagi dari yang sedia ada. Maka ini yang dinamakan kemahuan sedangkan keperluan IR sendiri sudah dipenuhi. Muhasabah diri ana kali ini ye.Hehe. Itulah secara peribadi, IR simpulkan kemahuan ini lebih kepada nafsu kerana itu akal selalunya tidak dijadikan asas pertimbangan apabila kita sudah meletakan target kemahuan kita!

Keperluan

Ya. Apakah itu keperluan? Bukankah daripada kemahuan timbulnya keperluan? Mari kita rujuk juga kamus Dewan Bahasa & Pustaka. ‘Keperluan ini merupakan kata dari perlu (kata tugas)’

  1. Bersinonim dengan
    berguna: berfaedah, bermanfaat, mustahak, penting,
  2. Kata Terbitan : memerlukan, keperluan,

    (Sumber: Dewan Bahasa & Pustaka)

Initipati dari maksud keperluan yang IR boleh fahami disini adalah, keperluan merupakan sesuatu yang menjadi wajib dan mesti kerana ia berguna, berfaedah dan lain-lain perkara yang sinonim dengannya. Maka, kesimpulan mudah keperluan merupakan satu perkara yang tidak dapat tidak secara tabi’inya kita memerlukannya. Sebagai contoh IR memerlukan baju untuk bermain. Maka ini merupakan satu keperluan kerana pakaian sememangnya adala keperluan manusia secara fitrahnya. Cuba IR bawakan contoh lain. IR berkehendakan baju kemeja. Pada dasarnya kita melihat ia seolah-olah satu kemahuan. Tetapi ia merupakan satu keperluan kerana baju kemeja tidak sama fungsinya dengan baju yang digunakan untuk bermain. Melihat pemikiran simplistik kita, baju kemeja juga boleh dibuat bermain tetapi adakah ia sesuai dengan peranannya sebagai baju kemeja. Tentu tidak. Anda sendiri boleh menilainya. Kita tiada telefon bimbit, maka, adalah menjadi keperluan untuk memilikinya kerana digunakan untuk berhubung dan seumpamanya. Mungkin apabila kita sudah memiliki telefon bimbit, akan menjadi satu keperluan juga untuk memiliki sebuah lagi telefon bimbit yang baru. Ringkasnya ia bergantung kepada keadaan. Kita sendiri bijak untuk menilai apakah ia merupakan satu keperluan ATAU kemahuan. Kesimpulan mudah bagi memahami keperluan, biasanya naluri akal sendiri meletakkan ia sebagai satu keperluan secara fitrahnya seperti makan, minum dan seumpamanya.

Rumusannya. Kita sudah diberikan akal untuk berfikir oleh ALLAH tentang setiap perkara baik buruk dan segala yang berkaitan dengan kehidupan. Pertimbangan yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis adalah suatu pemikiran aras tinggi yang melepasi kesemua pemikiran yang ada di muka bumi. Bukankah ALLAH telah berpesan kepada sekalian makhluknya dalam surah Ar-Ra’d ayat 19:

“Maka Adakah orang Yang mengetahui Bahawa Al-Quran Yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (Wahai Muhammad) perkara Yang benar, sama Dengan orang Yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang Yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.”

Sekarang keutamaan kita kepada keperluan ATAU kemahuan? Mulakan pengembaraan kendiri anda!

 


~ Kejadian akal yang diciptakan oleh ALLAH adalah Maha Hebat kuasa ciptaannya. Gunakan ia dengan sebaiknya pasti kebaikan mengiringi bersama ~

 

Posted in Peribadi | Leave a comment

Sebuah Permulaan Suatu Perjalanan

Salam!

“Sejauh mana luasnya perjalanan, sejauh itulah jua pengalaman yang diperoleh”

Itulah sebuah ungkapan yang cukup bererti bagi manusia yang selalu mengembara dalam alam ini. Suatu perolehan yang tiada tandingan. IR merasakan bagi manusia yang sentiasa menghayati lembaran firman pastinya manusia yang sentiasa menggunakan akalnya bagi setiap yang dilalui. Firman ALLAH berbunyi dalam surah Al-Hajj ayat 46:

“Oleh itu, Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – Dengan melihat kesan-kesan Yang tersebut – mereka menjadi orang-orang Yang ada hati Yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga Yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan Yang sebenarnya bukanlah mata kepala Yang buta, tetapi Yang buta itu ialah mata hati Yang ada di Dalam dada.”

ALLAH menyuruh kita mengembara agar kita mengetahui segala tanda kekuasaannya. Mengetahui segala yang terjadi. Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat. Suatu perjalanan bagi membuka mata hati ini. Tidak semestinya mengembara itu bentuknya fizikal. Menerokai diri, itu jua salah satu kembara yang infinity! Hakikatnya sangat jelas, penggunaan akal dalam berpakiskan ketuhanan dalam setiap ruang lingkup kehidupan adalah batu asas yang memberikan kita pengalaman yang tiada taranya.

IR sendiri jua cuba untuk sentiasa mengikuti lembaran firman yang disampaikan dengan kemampuan yang ada. Setiap pengalaman yang diperoleh akan IR gunakan untuk kebaikan diri sendiri dan juga seluruhnya. Blog ini adalah satu permulaan jelas kepada suatu pengembaraan. Walau bentuknya nampak serius, tetapi kandungannya merangkumi semua. Aspek antarabangsa, tempatan, politik, filem, sukan, pelancongan IR sendiri dan lain-lain lagi semuanya insyaALLAH akan dimuatkan dalam blog ini untuk perkongsian kita bersama. Tiada yang lebih menyeronokkan melainkan kita sentiasa dapat berinteraksi sesama kita kendati pun ia hanyalah suatu alam maya yang jauh dimata tapi dekat sebenarnya di hati kita.

Permulaan ini adalah suatu pembaharuan. Haha, semestinya untuk mengasah kembali minda IR yang dirasakan semakin berkarat dek kerana kurangnya penggunaan bagi sesuatu yang memerlukan pemikiran seperti penulisan blog inilah . Panjang lebar rasanya permulaan ini. Tetapi tidak mengapa kerana setiap permulaan perlu ada ramah dan mesra didalamnya. Barulah perjalanan berikutnya mudah dan sentiasa dalam inayahNYA. Bermulalah suatu perjalanan. Jom kembara!


~ Perjalanan kita masih jauh dan jua penuh liku-likunya. Hargailah setiap perjalanan yang dilalui kerana itulah perngalaman paling berharga buat diri ~

 


Posted in Peribadi | 2 Comments